Isnin, 7 September 2009
Bahasa merupakan sistem komunikasi yang amat penting bagi manusia. Sebagai suatu unsur yang dinamik, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan menggunakan perbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat digunakan untuk mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang makna atau semantic, yang sebenarnya menjadi sebahagian daripada ilmu linguistik ini, menjadi suatu hal yang amat penting memandangkan hal kajian bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsure makna. Bahasa, menurut R. H. Robbins (1952) menegaskan bahawa kajian makna merupakan salah satu bahagian yang penting dalam linguistik am. Sementara itu, Firth (1944) menegaskan bahawa makna menjadi inti dalam kajian bahasa. Lazimnya, kata ‘makna’ memberi erti ‘maksud’ atau ‘erti’. Walau bagaimanapun, kata makna boleh diberi bermacam-macam pergertian lagi. Misalnya, Ogden dan Richard dalam buku The Meaning of Meaning (1956) pernah memberi 16 pengertian dan erti bagi makna; antaranya makna adalah suatu yang intrinsik, pokok, kemahuan, dan suata peristiwa yang diharapkan. Dengan yang demikian, kita dapat membayangkan betapa rumit sekali makna bagi ‘makna’.
Kata “semantik” ini, sebenarnya berasal daripada kata adjektif bahasa Yunani semantickos yang membawa makna ‘penting’ atau ‘bererti’. Semantik pula, secara ringkas, dapat dijelaskan sebagai suatu bidang ilmu yang mengkaji makna perkataan dan ayat dalam bahasa. Semantik dalam bahasa, pada umumnya, dapat diteliti dari pelbagai sudut. Demikian juga semantik dalam Bahasa Melayu dapat diteliti dari aspek-aspek seerti dan rujukan, perkataan, ayat, jenis-jenis makna, perubahan makna, peribahasa (termasuk simpulan bahasa), dan unsur semantik dalam nahu.
Perkataan makna, menurut pandangan ahli-ahli bahasa, adalah unit bahasa yang terkecil yang mengandung makna. Dalam pada itu, Lyons dalam bukunya Introduction of Theoretical Linguistics (1968), berpendapat bahawa perkataan merupakan suatu ‘tanda’ yang mencakupi dua bahagian, yakni bentuk dan maknanya. Misalnya kata ‘dua’, ada bentuknya yang terdiri, iaitu d u a dan maknanya, ‘jumlah satu campur satu atau 1 + 1’. Manakala, kata ‘beras’, misalnya, ada bentuk be – ras dan maknanya ‘padi yang sudah dikupas kulit dan sedia untuk dimasak’. Ada juga perkataan dalam bahasa Melayu yang ada satu bentuk tetapi maknanya yang banyak, seperti kata dalam, semak, dan rendang. Hal ini akan terbukti jika dicari makna bagi perkataan – perkataan tersebut dalam kamus. Selain itu, ada perkataan yang berkongsi dan bertindan makna dengan kata yang lain. Contohnya, perkataan bercakap berkongsi dan bertindan makna dengan kata bisik, jerit, teriak kerana dalam semua perkataan ini ada komponen makna yang berkaitan dengan hal penyuaraan. Demikian juga mawar, teratai, orkid, semua bertindak makna dengan satu sama lain kerana memiliki dalamnya makna umum bunga. Oleh sebab ada pelbagai jenis kata, bentuk kata, makna yang pelbagai, maka kata-kata dalam bahasa Melayu seperti dalam bahasa-bahasa lain dapat dikategorikan kepada beberapa golongan seperti sinonim (makna yang sama), antonim (makna yang berlawan), hiponim (bentuk yang sama tetapi makna yang berbeza) dan sebagainya.
Selasa, 1 September 2009
ARTIKULASIKAN KONSEP SATU MALAYSIA
Konsep Satu Malaysia yang diumumkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini adalah bukti keprihatinan kepimpinan beliau terhadap destini negara-bangsa Malaysia, perpaduan, kemakmuran, keamanan, keselamatan, kecemerlangan, keunggulan dan kelangsungannya di hari muka. Konsep sosio-politik yang berteraskan cita-cita untuk membina satu era baru di Malaysia menerusi satu transformasi yang besar ini bermatlamat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat.
Beliau telah merincikan konsep ini menerusi blog peribadinya, 1 Malaysia. Contohnya, pada 5 April 2009, Najib menghuraikan aspek-aspek budaya kecemerlangan. Pada 8 April 2009, beliau pula menghuraikan maksud nilai-nilai ketabahan. Ini bermakna budaya kecemerlangan dan nilai-nilai ketabahan adalah antara ciri-ciri teras kepada Konsep Satu Malaysia. Pastinya dalam siri tulisan Najib selanjutnya beliau akan menghuraikan ertinya perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) yang mendasari elemen kemajmukan rakyat Malaysia dan lain-lain aspek kenegaraan yang sewajarnya menjadi perisian serta input kepada Konsep Satu Malaysia.
Rakyat jelata Malaysia juga perlu menyumbangkan dayausaha mereka untuk memperdalami dan merincikan konsep ini. Dayausaha ini pasti dapat membantu kepimpinan Najib untuk segera menterjemahkan konsep ini menjadi dasar dan program perjuangan nasional yang efektif dan bermanfaat dalam tempoh terdekat ini. Oleh sebab itu, sama-samalah kita bangkit dan bertindak. Kita yang terdiri daripada golongan akademik, profesional, pemimpin gerakan akar umbi, aktivis belia, aktivis pelajar, elit politik yang merentasi ideologi, dan seluruh rakyat jelata wajar bergabung tenaga dan minda untuk menghalusi konsep ini dengan seberapa segera.
Kita rincikan konsep ini, kita hayati cita-citanya, kita terokai input dan perisian yang sewajarnya, dan akhir sekali kita ketengahkan penemuan daripada dayausaha kita ini kepada pihak kerajaan untuk menjadikannya kepada dasar dan program nasional yang kita perlukan. Namun adalah penting jika dayausaha ini kita laksanakan dengan bersandarkan kepada prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara dan Wawasan 2020 supaya Konsep Satu Malaysia ini tidak meminggirkan ciri-ciri asas dan utama kepada kenegaraan, perpaduan dan kemajuan Malaysia seluruhnya. Dengan cara ini, moga-moga usaha untuk mengeksploitasikan Konsep Satu Malaysia kononnya sebagai sinonim dengan Konsep Malaysian Malaysia akan menjadi usaha yang terpencil dan dengan sendirinya ditolak oleh majoriti rakyat jelata Malaysia.
Langgan:
Catatan (Atom)